KEMAMAN: Fenomena air pasang besar dan angin kencang menyebabkan rumah lima keluarga di Kampung Geliga Baru, di sini, dibadai ombak yang menyebabkan bukan hanya dimasuki pasir dan sampah sarap, malah ada antaranya dimasuki air laut.
Seorang penduduk, Juliana Ariffin, 45, berkata, dia dan suaminya, Zainal Yusoff, 51, panik selepas rumah mereka dirasakan bergegar dipukul ombak kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin.
“Saya dan suami hanya mampu berdoa dan melaungkan azan serta takbir sebab terlalu takut dengan keadaan angin kencang serta ombak yang ‘memukul’ rumah.
“Kami tidak sempat mengambil apa-apa barang, kami keluar rumah sebaik sahaja selesai menunaikan solat Maghrib kerana bimbang keselamatan empat anak kami,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balairaya Kampung Geliga Pantai, di sini, semalam.
Juliana berkata, barangan dalam rumahnya termasuk perabot dan barangan elektrik juga rosak selepas kediamannya dimasuki air.
Menurutnya, hakisan yang semakin kritikal berlaku di kawasan itu juga menyebabkan kediamannya kini semakin hampir dengan pantai.
“Sebelum ini, di belakang rumah saya ada lima hingga enam buah rumah lagi, saya bimbang kalau keadaan ini bertambah teruk dan rumah saya juga runtuh seperti rumah penduduk lain setiap kali berlaku fenomena air pasang besar,” katanya.
Bagi warga emas, Ibrahim Zakaria, 67, pula, dia yang tinggal bersama isteri dan seorang anak di kampung itu lebih 30 tahun lalu tidak pernah berdepan dengan kejadian seperti itu.
“Sebelum ini, memang kediaman kami terjejas kalau ombak besar sebab kawasan rumah terlalu dekat dengan pantai disebabkan hakisan.
“Namun, ribut dan ombak besar yang berlaku kelmarin sangat dasyat. Ombak menggulung bagaikan mahu ‘menelan’ rumah kami. Kami sangat takut dan bimbang kalau-kalau rumah kayu kami runtuh,” katanya.
Ibrahim berkata, angin kencang turut menerbangkan beberapa keping atap rumahnya serta rumah penduduk kampung yang lain.
“Kami terpaksa tinggal di PPS Balairaya Geliga Pantai kerana balai rraya kampung kami tidak selamat diduduki dan hanya menunggu masa untuk runtuh,” katanya.-UTUSAN.