RM122,000 saman tertunggak kenderaan Thailand dikutip, gagal bayar kenderaan disita

RM122,000 saman tertunggak kenderaan Thailand dikutip, gagal bayar kenderaan disita

NORAINI Mohd Nawi menunjukkan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) yang diperiksa sewaktu Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 di KM26 Jalan Kuala Perlis-Changlun, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri berjaya membuat kutipan saman tertunggak membabitkan 54 kenderaan dari Thailand berjumlah RM122,000 dari Oktober tahun lalu sehingga semalam.

Tindakan tersebut melalui penguatkuasaan Ops Tunggak yang dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.

Pengarah JPJ negeri, Noraini Mohd Nawi berkata, objektif pelaksanaan Ops Tunggak bagi mengutip tunggakan saman pemandu dari Thailand yang memasuki negara ini.

“Sekiranya pihak terlibat gagal melunaskan tunggakan saman, kenderaan mereka akan disita dan tidak dibenarkan keluar sehingga pembayaran dijelaskan. 

“Sebab itu, sepanjang operasi ini, kita turut sediakan perkhidmatan Mobile JPJ bagi memudahkan mereka membuat pembayaran tunggakan saman secara terus,” katanya ketika ditemui pada Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 di KM26 Jalan Kuala Perlis-Changlun, di sini, semalam. 

Ops Tunggak merupakan operasi khas dilaksanakan di empat buah negeri yang bersempadan dengan Thailand iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan bagi mengesan pemandu asing yang melanggar undang-undang termasuk mempunyai tunggakan saman.   

Noraini berkata, JPJ negeri turut melaksanakan penguatkuasaan di dua pintu masuk sempadan di Perlis menerusi Ops Tunggak tersebut. 

“Kita menjalankan operasi di sempadan masuk Padang Besar dan Wang Kelian bagi mengesan pemandu Thailand yang mempunyai tunggakan saman berkenaan,” katanya. 

Mengulas mengenai Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025, Noraini berkata, pelaksanaan penguatkuasaan itu akan dijalankan selama 19 hari bermula 20 Januari sehingga 9 Februari bagi meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya pada musim perayaan ini.

“Untuk semalam sahaja, kita telah mengeluarkan lebih 100 saman atas pelbagai kesalahan malah terdapat juga dua buah lori yang dikesan membawa lebihan muatan mengikut kesalahan di bawah Kaedah 89 MV (C&U) 1959.

“Selain itu, sebuah kenderaan Thailand juga dikesan mempunyai sembilan kesalahan lampau tiada Permit Edaran Antarabangsa (ICP),” katanya.

Katanya, setakat ini, seorang pemandu bas juga dikenalpasti positif dadah hasil saringan ujian air kencing dilakukan menerusi pemeriksaan di terminal Bukit Lagi di sini bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejak 13 Januari lalu.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya