KUALA LUMPUR: Nilai kerugian bagi harta benda yang musnah akibat kebakaran menurun daripada RM 2.6 bilion pada 2023 kepada RM1.56 bilion sepanjang tahun lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) merekodkan sebanyak 41,149 panggilan kes kebakaran yang diterima dan diambil tindakan sepanjang tahun lalu.
“Pelbagai faktor menyumbang kepada insiden kebakaran di bangunan namun hasil siasatan Pasukan Forensik JBPM mendapati sebahagian besar daripadanya adalah berpunca daripada nyalaan elektrik.
“Semestinya dalam suasana perayaan ini akan berlaku aktiviti masak-memasak, penggunaan perkakas elektrik yang berlebihan, pembakaran mercun, bunga api dan sebagainya yang boleh meningkatkan risiko tercetusnya kebakaran.
“Oleh itu, saya menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada menjelang perayaan yang bakal tiba,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Sempena Tahun Baru Cina 202- Ops Siaga Raya, di sini hari ini.
Tambah Kor Ming, sepanjang tempoh Ops Tahun Baharu Cina 2024, sebanyak 2,204 panggilan kes kebakaran direkodkan dan sembilan peratus daripadanya adalah kebakaran melibatkan bangunan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi tahun ini, hampir 70 peratus anggota bomba diarah untuk bersedia sepanjang Ops Siaga Raya.
“Sebanyak 12,000 anggota bomba telah diarahkan untuk bertugas sepanjang perayaan Tahun Baru Cina,” katanya.
“Kita juga ada lebih kurang 400 pasukan bomba sukarela di seluruh negara yang akan bersiap sedia.
“Kita harap tahun baru ini akan membawa kesejahteraan kepada rakyat dan kemakmuran kepada negara,” katanya.