TUMPAT: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa merampas pakaian terpakai termasuk lori bernilai RM1.3 juta selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di pangkalan haram Ular, Pengkalan Kubor di sini pada Sabtu.
Serbuan pukul 4.30 petang itu dilakukan menerusi rondaan rutin Ops Taring Wawasan Kelantan oleh sepasukan anggota yang telah ternampak beberapa lelaki sedang memunggah barang dari lori ke dalam bot.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, sejurus menyedari kehadiran anggota bertugas kesemua suspek telah bertindak melarikan diri dengan meninggalkan pemandu lori di lokasi.
Menurutnya, pemandu lori berusia 22 tahun tidak sempat melarikan diri dan berjaya ditangkap oleh anggota bertugas.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan lebih 100 guni pakaian terpakai ditemui di dalam lori tersebut tanpa dokumen yang sah.
“Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup pakaian tersebut tersebut ke Thailand menggunakan laluan tidak sah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Katanya, suspek dan barang rampasan dibawa balik ke Kompeni Taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN