SERI KEMBANGAN: Tindakan sebuah restoran menampal pelekat ‘dapur Muslim’ meskipun tidak mempunyai pensijilan halal membawa padah apabila premis itu diserbu agensi penguatkuasa di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, Selangor, hari ini.
Restoran masakan panas di Balakong itu diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kajang selepas disyaki melanggar peruntukan undang-undang berkaitan halal.
Ketika serbuan, dua tukang masak meloloskan diri dan hanya tinggal seorang pelayan wanita dipercayai warga asing berusia lewat 30-an yang memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa seterusnya menghubungi pemilik restoran.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia mendapati premis itu menyediakan dua menu berbeza dengan satu daripadanya mempunyai hidangan tidak halal.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Daerah Kajang, Ruhaizad Zahari berkata, serbuan berkenaan dijalankan pukul 1 petang itu berasaskan aduan dari orang awam dan tinjauan pihaknya selama seminggu.
“Tindakan itu diambil berdasarkan aduan awam mengenai penggunaan pelekat ‘dapur Muslim’ pada premis berkenaan yang boleh mengelirukan pelanggan beragama Islam.
“Ia melibatkan penggunaan ungkapan yang menunjukkan restoran berkenaan boleh dimakan oleh orang Islam, dengan mereka menggunakan dan mempamerkan label dengan kenyataan ‘dapur Muslim’,” katanya.
Menurutnya, di bawah bidang kuasa JAIS, premis berkenaan disyaki melanggar Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, kerana premis tidak mempunyai pensijilan halal.
Tambahnya, pemeriksaan di bawah bidang kuasa KPDN seperti pemeriksaan tanda harga, penggunaan barangan kawalan berjadual seperti minyak masak, gula dan tepung gandum secara keseluruhannya mendapati premis mematuhi dari aspek pemilikan had kuota barang kawalan yang digunakan untuk perniagaan.
“Walau bagaimanapun, pelanggaran di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, akan disiasat lanjut oleh pihak JAIS.”
“Jika sabit kesalahan, pemilik berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM10 juta,” katanya.