JERANTUT: Seorang remaja lelaki yang dipercayai terjatuh ketika melakukan aktiviti memancing bersama dua orang rakannya di Kampung Jerantut Feri di sini pada Sabtu lalu ditemukan lemas oleh anggota bomba pukul 7.45 pagi hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, mayat, Azri Fahmi Bahiudin Zaiful Afindi, 14, ditemukan oleh dua orang anggota bomba semasa membuat rondaan ketika memulakan tugasan mencari pada pagi hari ini.
“Mayat mangsa ditemukan ketika anggota bomba membuat rondaan dengan bot pada jarak 800 meter dari tempat mangsa terjatuh,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian pada Sabtu pukul 5.07 petang, mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin dipercayai tergelincir dan jatuh di Sungai Pahang ketika melakukan aktiviti memancing bersama seorang rakan berdekatan rumah rakit di Kampung Jerantut Feri di sini.
Mohd. Salahuddin berkata, orang awam diminta mengelakkan melakukan aktiviti di air yang boleh mengundang bahaya kerana masih dalam Monsun Timur Laut (MTL) sehingga bulan Mac ini.
Ujarnya, semua aktiviti di air hendaklah mengutamakan keselamatan dengan memakai protective flotation device (PFD) dan melibatkan secara berkumpulan untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. – UTUSAN