SEREMBAN: Berasal daripada keluarga perkahwinan campur membantu Mohd. Redzwan Shujauddin, 40, hilangkan rasa kekok ketika meraikan Tahun Baharu Cina selepas mendirikan rumah tangga dengan isteri tercintanya, Bibi Aisyah Tan Abdullah, 30.
Kata bapa kepada tiga orang anak itu, bapanya berketurunan India dan ibunya pula Melayu jadi lebih mudah dirinya untuk menerima budaya yang berbeza.
“Apabila tibanya perayaan Tahun Baharu Cina, saya bersama keluarga akan pulang ke rumah keluarga isteri di Klang, Selangor. Paling lewat sehari sebelum sudah sampai di sana untuk makan besar bersama keluarga mentua.
“Seronok apabila dapat menyambut dua perayaan kerana dapat saudara dari bangsa lain dan dapat belajar budaya mereka. Ini sekali gus membuat kita lebih memahami antara satu sama lain, hilang perasaan perkauman, sebab akhirnya semua isi rumah tidak kira bangsa sedang cuba buat terbaik untuk keluarga masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini .
Mohd. Redzwan yang merupakan seorang pengarah syarikat memberitahu, hasil perkahwinan campur itu juga, kesemua anaknya menguasai tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Mandarin.
“Isteri dan mentua juga banyak membantu dan mereka sering bercerita tentang adat dan budaya kaum Cina. Kakak ipar pula rapat dengan anak-anak yang turut sama banyak membantu anak kami memahami budaya kaum Cina.
“Perkara ini sebenarnya menyebabkan kami jadi lebih terbuka dan positif selain dapat menerima dan menghormati budaya masing-masing. Mereka juga lebih mudah memahami budaya kaum Melayu dan Islam,” katanya yang sudah 13 tahun mendirikan rumah tangga.
Berkongsi aktiviti setiap tahun ketika perayaan Tahun Baru Cina, kata Mohd. Redzwan memberitahu, kebiasaannya sehari sebelum makan besar petang, keluarga mentua akan bersama-sama bermain bunga api.
“Keesokan paginya pula, kami akan berkumpul di rumah adik-beradik mentua dan berkunjung ke rumah terbuka saudara.
“Makanan halal juga disediakan jadi keluarga saya tidak mempunyai masalah daripada segi itu memandangkan tuan rumah pun mempunyai ramai kenalan Melayu yang turut berkunjung ketika perayaan,” katanya lagi.-UTUSAN.