SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan merampas dan menyenarai hitam usahawan kaum India daripada terus menerima bantuan sekiranya didapati menyalahgunakan bantuan peralatan dan barangan di negeri ini.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri, V. Papparaidu berkata, amaran itu dibuat susulan pihaknya menerima beberapa kes melibatkan penyalahgunaan antaranya berkaitan penjualan semula barangan atau mesin itu atau menyerahkannya kepada individu lain.
“Kita kini masih menjalankan siasatan menyeluruh mengenai perkara itu yang dianggap kesalahan agak serius.
“Semua barangan bantuan usahawan itu boleh dirampas dan sebarang permohonan lanjut tidak akan dilayan,” katanya selepas menyerahkan bantuan peralatan usahawan India Selangor (I-Seed), hari ini.
Jelasnya Papparaidu, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan aktiviti penyelewengan seumpama itu.
“Kita mempunyai Ketua Komuniti India (KKI) dan pegawai I-Seed yang akan memantau perkembangan semua penerima bantuan itu. Semua barangan itu adalah hak milik kerajaan negeri dan tidak boleh disalahgunakan termasuk dijual beli,” ujarnya.
Tambah beliau, isu ketirisan dan kebocoran dalam proses itu diterima beliau daripada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Tindakan tegas itu diambil sebagai langkah memastikan bantuan kerajaan negeri sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Usahawan yang menerimanya perlu bersyukur dan tidak mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi,” katanya.
Pelaksanaan I-Seed yang dikawal selia Unit Pemerkasaan dan Pembangunan Usahawan India bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India menerusi bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan diusahakan.
Inisiatif dimulakan sejak tahun 2021 itu memberi banyak manfaat kepada usahawan yang memerlukan bantuan. – UTUSAN