ARAU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri mensasarkan membantu 200 peniaga dan usahawan kecil pada tahun ini menerusi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Langkah itu bagi membolehkan lebih ramai pihak meraih manfaat dalam membantu meningkatkan pendapatan dan memulakan perniagaan buat golongan kurang berkemampuan.
Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Kemas negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, selain itu, usahawan dan peniaga kecil dari golongan bukan bumiputera di negeri ini yang baharu memulakan perniagaan juga disaran mengambil peluang membuat permohonan menerusi program tersebut.
“Inisiatif program PPP ini memberi peluang kepada semua rakyat dalam kalangan B40 terutama di Perlis tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik untuk bersama-sama mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan.
“Tahun ini, saya rasa peruntukan kepada Perlis bagi program ini akan lebih tinggi malah saya juga telah membuat permohanan berkenaan kerana ramai dalam kalangan rakyat negeri ini menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya selepas majlis penyerahan inisiatif itu di Pejabat UMNO Bahagian Arau, di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 75 orang peniaga yang membuat permohonan pada tahun lalu telah dipilih bagi menerima sumbangan peralatan perniagaan.
Mengulas lanjut, Rozabil berkata, menerusi pemberian berkenaan, seorang penerima akan mendapat sumbangan peralatan dengan nilai tidak melebihi RM10,000 meliputi pelbagai segmen seperti perkhidmatan, pembuatan dan sehinggalah kepada barangan bengkel kederaan serta motosikal.
“Ini adalah projek rintis dan tahun ini kita akan buka lebih lagi kepada seluruh rakyat Perlis dari Padang Besar, Kangar dan Arau selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, kriteria pemilihan penerima untuk program itu juga adalah terdiri daripada golongan yang baharu memulakan perniagaan di bawah kumpulan B40.
Katanya, permohonan akan disaring oleh KKDW tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik pemohon terlibat.
“Kita juga akan memantau perkembangan penerima-penerima ini agar kemudahan yang diberikan itu tidak disalah guna,” katanya.-UTUSAN