PETALING JAYA: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Persidangan Diraja Berkenaan Islam & Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kampus Kuala Lumpur, hari ini.
Persidangan itu dianjurkan oleh UTM, Pusat Pengajian Lanjutan Islam, Sains dan Ketamadunan Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS) dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) bertemakan ‘Keadilan dalam Islam: Konsep, Sejarah dan Cabaran Masa Kini’.
Dalam hantaran media sosial, Raja Zarith Sofiah menekankan kepentingan bermuhasabah dan sentiasa mencari panduan serta penyelesaian ke arah masa depan yang harmoni dan sejahtera untuk kemanusiaan sejagat.
“Keadilan menuntut penyemaian ilmu yang benar. Ilmu yang palsu dan menyesatkan akan membawa kepada ekstremisme dan ketidakadilan.
“Pendidikan yang hanya mengajar ilmu, tanpa menyemai nilai-nilai murni akan melahirkan individu yang berpotensi menjadi korup dan tidak bertanggungjawab.
“Justeru, ilmu kebenaran adalah amat penting dan diperlukan untuk menjamin masa depan manusiawi yang lebih baik,” titah Seri Paduka.
Turut hadir pada persidangan itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran buku Sejarah Islam di Alam Melayu: Antara Fakta dan Rekaan oleh Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris, yang menterjemahkan karya asal ‘Historical Fact and Fiction’ oleh Profesor Diraja Syed Naquib Al-Attas.
Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyaksikan penyerahan cek oleh QSR Brands (M) Holdings Bhd, yang diwakili Pengarah Urusannya, Encik Nehchal Khanna kepada Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM.
Ucapan pembukaan Persidangan bertajuk ‘Justice In Contemporary Islamic Thought’ disampaikan oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dan Ucap tama bertajuk ‘Justice in Islamic Theological Discourse’ disampaikan oleh Prof. Dr. Alparslan Acikgenc, Ibn Haldun University, Istanbul, Turkiye.