BESUT: Seorang wanita dari Kampung Air Sejuk di sini, mampu menjana pendapatan mencecah RM200 sehari dengan menjalankan perkhidmatan melipat pakaian.
Nurul Ain Fadil, 24, berkata, dia mula menjalankan perkhidmatan itu sepenuh masa selepas kehilangan kerja sejak November tahun lalu.
Katanya, sebelum ini servis itu dilakukan secara sambilan sejak tiga tahun lalu selepas melihat terdapat sambutan meskipun di kawasan pinggir bandar.
“Perkhidmatan melipat kain ini banyak diterima ketika musim tengkujuh kerana semasa hujan orang ramai tidak dapat mencuci dan melipat pakaian seperti biasa menyebabkan jumlahnya meningkat.
“Mereka menggunakan dobi layan diri dan khidmat melipat kain dalam jumlah yang banyak yang mana kebanyakan tempahan ini diterima daripada golongan berkerjaya,” katanya ketika ditemui di Kampung Air Sejuk, semalam.
Nurul Ain yang sarat hamil lapan bulan berkata, perkhidmatan itu dilakukan dari rumah ke rumah di sekitar Besut hingga ke Kuala Nerus.
Katanya, dia menerima permintaan perkhidmatan melipat pakaian antara lima hingga 10 bakul sehari dan diselesaikan dalam tempoh 48 jam.
“Lazimnya saya melakukan kerja-kerja melipat kain ini sama ada di rumah pelanggan atau membawa pulang pakaian ke rumah dan menghantar kembali setelah siap dilipat. Khidmat ini ditawarkan dengan harga serendah RM20 bagi satu bakul besar kain. Alhamdulillah saya tidak menyangka ia mendapat sambutan yang memberangsangkan meskipun jarang dilakukan di kawasan kampung,” katanya.-UTUSAN.