SEREMBAN: Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli mengetuai senarai 555 individu penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-77, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu yang juga Timbalan Presiden PKR dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Seramai lima individu pula dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk.
Mereka ialah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman dan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan iaitu Mustapha Nagoor; Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim serta Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.
Turut menerima anugerah yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Summit Ascent Holding Limited, Datuk Chua Ming Huat;
Sementara itu, Pemegang Amanah Yayasan Munarah, S. Sheranjiv pula dianugerahkan Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang turut membawa gelaran Datuk.
Seramai 25 orang pula menerima anugerah Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.
Mereka antaranya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, Pengarah Peperangan Formasi Rejimen Semboyan Diraja, Brigedier Jeneral Dr Adnan Ajis; Ahli Majlis Akademi Perubatan Malaysia, Prof April Camilla Roslani; Pengarah Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Ayop Sallehserta Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee Sdn. Bhd, Muhamad Zamry Abu Samah.
Turut menerimanya, Pakar Perunding Oftalmologi Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Dr. Khairul Husnaini Mohd Khalid; Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Leaw Kok Chan; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains), Ir. Mohd Yazid Ahmad; Pengarah Urusan Kumpulan UMW Holdings Berhad, Mustamir Mohamad; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, K. Nagulendran dan Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh.
Sementara itu, seramai 28 individu menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS), empat individu menerima Darjah Tuanku Muhriz (DTM), 25 individu menerima Darjah Pekerti Terpilih (DPT) dan 73 individu menerima Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS).
Seramai tiga individu pula dikurniakan Setiawan Tuanku Muhriz (STM), Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (130), Pingat Jasa Kebaktian (227), Bentara Tuanku Muhriz (19) dan Pingat Khidmat Lama (14).
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung di Balairong Seri. Istana Besar Seri Menanti hari ini bagi sesi pertama manakala sesi kedua pada 20 Januari dan sesi ketiga pada 25 Januari ini.-UTUSAN