PETALING JAYA: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) memohon orang ramai yang mempunyai rakaman papan pemuka dan informasi tentang keberadaan tayar melibatkan kemalangan maut di persimpangan tol Ayer Keroh pada 23 Disember lalu agar tampil memberi maklumat.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, maklumat tersebut sangat penting untuk menyempurnakan siasatan dan membantu mengenal pasti punca kemalangan tersebut.
“Individu yang mempunyai rakaman papan pemuka sebelum, semasa dan selepas kemalangan tersebut, terutamanya rakaman ketika tayar itu dialihkan dari lokasi kemalangan diminta untuk tampil dan menyerahkan rakaman tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bahan-bahan bukti ini amat penting untuk membantu siasatan agar keluarga mangsa dan orang ramai mendapat suatu kepastian dan titik noktah berhubung tragedi ini,” katanya dalam kenyataan.
Mahmood berkata, laporan pemeriksaan awal Puspakom mendapati tayar yang hilang memiliki rim bersaiz 22.5 inci dengan anggaran berat sekitar 100 kilogram bersama tayar.
Tambah beliau, tayar tersebut dikatakan tercabut disebabkan kerosakan pada gandar kecil dan berada di tengah jalan semasa kejadian seperti yang disahkan oleh pemandu lori yang terlibat dan saksi-saksi kejadian.
“Puspakom telah memuktamadkan laporan siasatan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dan telah menyerahkanya kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
“Namun, ia hanya merangkumi pemeriksaan kenderaan manakala tayar yang tercabut itu tidak dapat diperiksa kerana tidak dijumpai. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang keberadaan tayar tersebut boleh menghubungi pihak polis atau Puspakom di talian 03-5101 7000,” katanya.
Dalam pada itu, Mahmood berkata, Puspakom juga menegaskan penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang memperjudikan bukan sahaja nyawa pemandu, bahkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
“Dalam usaha kita untuk menjadikan jalan raya lebih selamat, pemilik kenderaan perdagangan juga perlu memastikan tayar yang digunakan adalah mematuhi piawaian ketahanan dan keselamatan seperti mana yang diperuntukkan oleh kerajaan.
“Penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian ini adalah sangat tidak bertanggungjawab sama sekali,” katanya.