GEORGE TOWN: Penggunaan air domestik per kapita di Pulau Pinang mencatatkan penurunan paling rendah dalam tempoh 24 tahun pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, statistik terkini menunjukkan, penggunaan air sebanyak 261 liter per kapita sehari (LKH) pada tahun lalu, iaitu berkurang sebanyak 23 LKH (8.1 peratus) berbanding 284 LKH pada tahun sebelumnya.
“Angka ini juga merupakan yang terendah sejak tahun 2000, iaitu 255 LKH. Penurunan ini hasil daripada beberapa faktor termasuk peningkatan kesedaran awam, semakan kadar air, dan kempen penjimatan air,” katanya di sini hari ini.
Menurut Pathmanathan, pelaksanaan kadar air domestik baharu bermula 1 Februari 2024, bersama pemberian rebat enam bulan untuk 10m³ bagi penggunaan pertama juga mendorong rakyat mengurangkan penggunaan air bagi mengawal bil mereka.
Selain itu, katanya, krisis bekalan air akibat fenomena El Nino turut meningkatkan kesedaran rakyat terhadap pentingnya pemuliharaan air.
“Kempen Kurangkan 10 peratus oleh PBAPP yang dilancarkan pada tahun lepas turut menyumbang kepada perubahan positif ini,” katanya lagi.
Beliau berkata, walaupun sasaran 256 LKH yang diumumkan semasa sambutan Hari Air Sedunia 2024 tidak dicapai, pencapaian 261 LKH adalah langkah positif iaitu hanya kurang 1.9 peratus daripada sasaran tersebut.
“Jika rakyat Malaysia dengan purata nasional 237 LKH dan rakyat Singapura dengan 141 LKH boleh melakukannya, rakyat Pulau Pinang juga mampu mengurangkan penggunaan air isi rumah mereka lagi,” katanya.
Tambahnya, status bekalan air di Pulau Pinang kekal tidak selamat sehingga kapasiti empangan ditingkatkan.
“Setakat 20 Januari 2025, kapasiti efektif Empangan Air Itam berada pada 78.3 peratus manakala Empangan Teluk Bahang hanya 60.1 peratus,” jelasnya. – UTUSAN