Projek Lingkaran Tengah Utama punca lembu berkeliaran? - Utusan Malaysia

Projek Lingkaran Tengah Utama punca lembu berkeliaran?

SEBAHAGIAN lembu ternakan yang ditangkap penguat kuasa MDGM di jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) sepanjang laluan Gua Musang-Kuala Krai dikatakan sebagai antara punca haiwan ternakan keluar berkeliaran di atas jalan raya utama sehingga menyebabkan berlaku kemala­ngan di laluan terbabit.

Penternak lembu mendakwa, tindakan merobohkan pagar di kawasan ladang kelapa sawit untuk tujuan pembinaan menyebabkan haiwan ternakan bebas berkeliaran.

Seorang penternak yang ha­nya mahu dikenali sebagai Is­mail, 45, mendakwa, sejak pembinaan LTU lebih setahun lalu, haiwan ternakan di ladang berhampiran jalan raya kerap berkeliaran.

Katanya, pagar yang dibina oleh penternak di kawasan ladang sawit tempat haiwan ternakan dilepaskan dicabut bagi tujuan pembinaan jalan.

“Sebelum pembinaan dimulakan, difahamkan pihak bertanggunggjawab berjanji mele­takkan barrier atau penghadang bagi menghalang lembu bebas berkeliaran di atas raya.

“Namun sehingga kini, janji hanya tinggal janji apabila tidak ada penghadang diletakkan dan haiwan bebas berkeliaran di atas jalan raya. Haiwan ternakan yang kami ternak bukan seekor yang boleh dikurung tetapi agak banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sabtu lalu, akhbar ini mela­porkan, seramai 109 pengguna jalan raya maut di seluruh negara disebabkan haiwan peliharaan atau ternakan sepanjang tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 14,560 kes kemalangan membabitkan haiwan liar, haiwan peliharaan dan ternakan dicatatkan di seluruh negara dengan 13,877 kes kemalangan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan dan daripada jumlah itu, selain kematian, sebanyak 30 kes kemalangan meli­batkan kecederaan parah dan 544 kes lagi cedera ringan.

Lebih membimbangkan, la­luan-laluan utama penduduk di Pantai Timur termasuk Le­buhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan di jajahan Gua Musang yang merupakan pintu masuk ke Terengganu serta Kelantan, terus menjadi ‘perangkap maut’ kepada pengguna jalan raya ke­rana masalah berkenaan.

Seorang penternak, Sabri Ha­shim pula berkata, haiwan ternakan yang berkeliaran turut menyebabkan mereka mengalami kerugian apabila ada yang mati kerana dilanggar kende­raan dan hilang tidak dapat dikesan.

Katanya, terdapat penternak yang terpaksa berputih mata apabila lembu yang ditangkap pihak Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) tidak dapat dituntut kerana masalah kewangan.

“Buat masa sekarang kami terpaksa memberi lebih tum­puan kepada menjaga ternakan walaupun kami mengakui ternakan telah menceroboh jalan raya. Kami selalu meninjau lembu yang berkeliaran dan kalau cuaca hujan terpaksa keluar mencari lembu untuk dibawa pulang walaupun waktu men­ginjak malam,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha MDGM, W. Mohd. Afiq W. Alias berkata, sepanjang Januari hingga November tahun lalu, pihaknya menangkap 19 ekor lembu yang berkeliaran di laluan kerap berlaku kemala­ngan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Katanya, tindakan berlandas­kan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) di bawah Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau-Rayau (Majlis Daerah Gua Musang) (PINDAAN) 2012.

‘Undang-udang itu bertujuan mendidik pemilik supaya tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka bebas berkeliaran.

“Semua pemilik haiwan ter­nakan diingatkan supaya memastikan haiwan ternakan me­reka dipelihara dengan baik selain tidak dibiarkan merayau sehingga menimbulkan gangguan dan mengancam keselamatan awam,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya