TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menyerbu sebuah premis dan merampas 60,000 batang rokok serta 30 kilogram (kg) tembakau seludup di Kampung Kutan, Wakaf Bharu di sini kelmarin.
Serbuan hasil maklumat awam dan intipan selama dua jam itu membawa kepada rampasan bernilai RM122,430.
Menurut jurucakap PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, semasa serbuan dilakukan anggota bertugas terpaksa memecahkan premis tersebut untuk membuat pemeriksaan selepas ia dikunci.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai 60,000 batang rokok seludup dipercayai belum lulus dan larangan import kastam.
“Turut ditemukan dalam premis tersebut 33 kg bungkusan tembakau pelbagai jenama,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Jurucakap PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor memberitahu, kes disiasat di mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import/Eksport) 2017.
Katanya, semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.-UTUSAN