Prasarana sasar 1.4 juta penumpang sehari menjelang Disember 2025 - Utusan Malaysia

Prasarana sasar 1.4 juta penumpang sehari menjelang Disember 2025

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali utama pengangkutan awam negara terus komited mentransformasikan landskap pengangkutan awam dengan sasaran purata 1.4 juta penumpang sehari menjelang Disember 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sasaran tersebut dibuat berdasarkan unjuran peningkatan 10 hingga 12 peratus bilangan penumpang rel dan bas selepas pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sasaran itu didorong oleh kejayaan pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh Prasarana dan kerajaan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Katanya, pada 2024, purata penumpang harian Prasarana meningkat kepada 1.18 juta iaitu lonjakan 24 peratus berbanding 955,000 penumpang pada tahun sebelumnya.

“Sebagai contoh, pada 31 Disember 2024, seramai 1.54 juta penumpang direkodkan di semua rangkaian Prasarana.

“Ini membuktikan keupayaan kami menguruskan jumlah penumpang yang tinggi dengan cekap,” katanya pada Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, Prasarana berjaya mengurangkan gangguan perkhidmatan rel kepada 71 gangguan pada 2024, berbanding 118 gangguan pada tahun sebelumnya.

Katanya, ia merupakan penambahbaikan sebanyak 33 peratus dalam operasi tren.

“Ketersediaan tren juga bertambah baik dengan peningkatan jumlah tren daripada 148 unit kepada 179 unit iaitu bersamaan peningkatan 21 peratus.

“Keadaan ini berjaya mengurangkan waktu menunggu penumpang di Laluan Kelana Jaya kepada tiga minit dan di Laluan Kajang kepada empat minit,” katanya.

Siew Fook berkata, Prasarana turut memperluaskan koc khas wanita ke Laluan Putrajaya dan Laluan Ampang atau Sri Petaling.

“Inisiatif ini membuahkan hasil yang positif apabila tiada kes gangguan seksual dilaporkan di gerabak khas tersebut.

“Keselamatan di Laluan Monorel turut dipertingkatkan dengan pemasangan sistem pintu platform automatik (PAGS) di semua 11 stesen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya