PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam negara sebelum beralih sepenuhnya kepada penggunaan bas elektrik (EV) menjelang 2037.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sejak Jun 2024, sebanyak 20 unit van bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand telah beroperasi dijangka meningkat kepada 320 unit secara berperingkat dengan penghantaran pertama dijadualkan pada Februari ini.
Katanya, program penggantian bas baharu juga sedang giat dilaksanakan dengan pembelian 310 unit bas diesel yang dijangka diterima secara berperingkat bermula Mac ini yang merupakan penggantian terakhir sebelum beralih sepenuhnya kepada bas elektrik.
“Prasarana telah memulakan proses tender bagi perolehan 250 unit bas elektrik baharu dengan penghantaran pertama dijangka diterima pada Disember tahun ini.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen untuk menyokong usaha negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya pada Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024, di sini hari ini.
Anthony berkata, Prasarana turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menaik taraf 175 hentian bas dan laluan pejalan kaki bagi memastikan perjalanan lebih selesa serta mesra pengguna.
“Pengenalan perkhidmatan Rapid KL On-Demand dan pelaksanaan lorong khas bas di Jalan Ampang, Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama telah menyumbang kepada pertumbuhan ketara jumlah penumpang.
“Perkhidmatan Rapid KL On-Demand juga mencatatkan peningkatan 59 peratus jumlah penumpang, daripada 1,271 kepada 2,023 pengguna,” katanya.
Beliau berkata, prestasi Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) perkhidmatan bas turut mencatatkan peningkatan sebanyak 25 peratus daripada 10,447 kilometer kepada 13,039 kilometer iaitu melepasi sasaran 2024 sebanyak 19 peratus.
“Dengan inisiatif ini, Prasarana terus komited meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan menyokong agenda kelestarian negara,” katanya.