KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) memfailkan notis bantahan awal terhadap pertuduhan berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Disemak 2020) Akta 828.
Notis itu difailkan peguam dilantik PPNP kepada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) kerana pertubuhan itu disifatkan menerima notis yang singkat iaitu sehari pada 31 Disember lalu untuk hadir ke mahkamah pada hari ini.
Berdasarkan notis yang meragukan itu, PPNP mendapati pertuduhan terhadap PPNP cacat selain tidak berasas dan mengelirukan kerana salah satu elemen penting bagi kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Disemak 2020) Akta 828 tidak dinyatakan.
Selain itu, penerimaan notis pertuduhan yang gagal mematuhi peruntukan seksyen-seksyen atas tuduhan meneroka dan menceroboh tanah kerajaan negeri 425(1)(a) kerana salah satu butiran penting iaitu tarikh spesifik dan kesalahan tidak dinyatakan dalam notis pertuduhan.
PPNP juga memaklumkan bahawa tidak ada nama atau individu dalam pertubuhan dinyatakan secara spesifik diarahkan untuk hadir ke mahkamah.
PPNP sudah pun mengarahkan peguam memfailkan hujahan bertulis di Mahkamah Seksyen di sini hari ini untuk membatalkan pertuduhan yang dianggap subjudis dan cacat.
Penjelasan ini dibuat demi menjaga kepentingan dan imej PPNP. – UTUSAN