KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan penglibatan individu lain dalam percaya kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di sebuah pejabat tanah dan galian (PTG) di Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, beliau percaya kegiatan tersebut dilakukan secara bersindiket bagi memindahkan nama pemilik tanah.
“Sindiket kemudian mengupah ‘orang dalam’ untuk mengeksploitasi sistem dengan memadam serta menghilangkan rekod-rekod berkaitan pindah milik hartanah.
“Justeru, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitkan individu lain dalam jenayah ini.
“Setakat ini, seramai 17 individu berusia 33 hingga 57 tahun ditahan termasuk tujuh penjawat awam yang bertugas di sebuah PTG di Selangor bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak bersekongkok dengan sindiket tersebut.
Jelasnya, jenayah tersebut tidak mungkin berlaku tanpa penglibatan orang dalam.
“Ada kes nama telah hilang daripada pemilikan tanah itu apabila mangsa periksa di pejabat tanah. Proses ini (pertukaran nama) sangat rumit, ia tidak akan berlaku sewenang-wenangnya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 17 individu ditahan dalam tangkapan berasingan sejak September lalu kerana disyaki terbabit kartel pindah milik tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.
Setakat ini, tujuh kes sedang disiasat membabitkan tanah seluas 21 ekar atau lebih 9.4 hektar dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM7.1 juta. – UTUSAN