Bayi di bawah jagaan pengasuh sebelum meninggal

Bayi di bawah jagaan pengasuh sebelum meninggal

BAYI lelaki berusia empat bulan dilaporkan meninggal dunia ketika di bawah jagaan pengasuhnya dekat Bandar Saujana Putra di Kuala Langat, Selangor, pada Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Polis menyiasat punca kematian seorang bayi lelaki yang meninggal dunia di pusat asuhan di Bandar Saujana Putra pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, bayi berusia empat bulan itu berada di bawah jagaan pengasuh dari taska tersebut sebelum disahkan meninggal dunia oleh sebuah klinik berhampiran.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada doktor yang bertugas di klinik berkenaan kira-kira pukul 3.39 petang dan diberitahu sudah melakukan usaha menyelamat bayi berkenaan sebelum merujuknya ke Hospital Cyberjaya.

“Doktor dari klinik di kawasan Bandar Saujana Putra itu mengatakan bayi berkenaan dibawa dalam keadaan pucat, kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi dan nafas serta anak mata yang tidak menunjukkan reaksi ketika disuluh dengan lampu.

“Pengadu serta merta melakukan CPR dan memberikan bantuan oksigen sementara menunggu ambulans untuk dibawa ke Hospital Cyberjaya.

“Kira-kira pukul 4.35 petang, Hospital Cyberjaya menerima bayi itu dan melakukan CPR lebih 30 minit, tetapi tiada tindak balas dan doktor mengesahkannya meninggal dunia kira-kira pukul 5.05 petang,” katanya kepada media, semalam.

Kata Mohd. Akmalrizal, taska tempat asuhan bayi berkenaan belum mendapat kebenaran untuk beroperasi.

“Setakat ini tiada tangkapan lagi dibuat. Keterangan diambil bagi kes itu terhadap pengusaha dan pekerja. Premis berkenaan tidak berlesen dan permohonan sudah dihantar, tetapi belum diluluskan,” jelasnya.

Katanya, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Mohd. Akmalrizal menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menyeru mana-mana pihak mempunyai maklumat tampil ke balai polis atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31972222.

Pusat asuhan tersebut sudah diarah tutup dan menghentikan operasi sejak Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim berkata, pihaknya diberitahu maklumat kejadian itu oleh polis pada Ahad lalu.

“JKM dapat makluman polis berhubung kes ini pada Ahad, 5 Januari. Sehari selepas itu, JKM turun ke taska dan mengarahkan operasi premis ditutup,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya