MUAR: Polis kini menyiasat kejadian replika naga yang dihiasi dengan bendera negara China dalam satu program perarakan di bandar ini dengan video perkara itu turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukliz Azman Aziz, berkata, Program Perarakan Seni dan Kebudayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Gabungan Persatuan Tiong Hua Daerah Muar itu telah berlangsung petang kelmarin di sekitar bandar ini.
“Dalam perarakan tersebut, tarian singa dan replika naga yang dikatakan terpanjang di Malaysia telah diarak melalui beberapa jalan utama di sekitar Bandar Muar.
“Hasil pemantauan polis semasa perarakan berlangsung mendapati replika naga dihias dengan bendera Jalur Gemilang di bahagian sebelah kanan badan manakala bahagian kiri badan dihias dengan bendera negara China.
“Rakaman video dan gambar-gambar mengenai perarakan turut dikesan tular di beberapa media sosial sejak semalam.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah mengambil Tindakan dengan membuka kertas siasatan pada hari yang sama kejadian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah Raiz Mukhliz, pihak penganjur program dan saksi-saksi kejadian dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Ujar beliau, sasatan dijalankan mengikut peruntukan kesalahan-kesalahan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (kawalan mempamer) 1949.-UTUSAN.