LIPIS: Polis menahan seorang lelaki dan merampas haiwan disyaki dilindungi selepas menahan sebuah lori dalam sekatan jalan raya di Kilometer 7 Jalan Lipis-Benta dekat sini kira-kira pukul 9.30 malam kelmarin.
Ketua Polis Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, rampasan membabitkan 494 ekor haiwan daripada pelbagai jenis unggas dan mamalia kecil termasuk spesis burung serta ayam hutan.
“Dalam sekatan itu kita menahan sebuah lori jenis Rigid Mitsubishi Fuso dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Shah Alam, Selangor.
“Pemeriksaan awal mendapati lori itu membawa muatan haiwan hidup disyaki spesis yang dilindungi dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya di sini hari ini.
Ismail berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati haiwan tersebut dibawa tanpa permit dan kelulusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Pemeriksaan polis turut mendapati pemandu lori mengambil pelbagai spesis haiwan dilokasi berasingan sebelum ditahan oleh polis sebaik sahaja melalui lokasi sekatan jalan raya.
“Pemandu bersama rampasan kenderaan dan pelbagai spesis haiwan unggas dan mamalia kecil dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis untuk tindakan lanjut. Siasatan dijalankan dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya. – UTUSAN