PETALING JAYA: Polis sudah merakam keterangan pelawak dan pelakon Harith Iskander pada Rabu lalu berhubung hantaran dalam akaun Facebooknya mengenai isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya turut mengenal pasti identiti seorang lagi individu dikenali sebagai ‘Cecelia Yap Song’ dipercayai mempunyai kaitan dalam kes tersebut.
“Kita masih dalam proses mengesan individu terbabit.
“Setakat ini satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razarudin berkata, setakat ini pihaknya menerima 16 laporan polis berkaitan isu tersebut di seluruh negara.
Selasa lalu, Harith Iskander, 54, didakwa memuat naik hantaran dengan memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ham sap kopi berharga RM5.50.
Semakan di Facebook selebriti itu yang mempunyai satu juta pengikut, mendapati hantaran terbabit dimuat naik pada Sabtu lalu.
“Saya begitu keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara.
“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi hamsap (miang), tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?
“Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?”, tulisnya dalam hantaran itu yang disudahi emoji wajah tertawa hingga keluar air mata.
Hantaran berkenaan didakwa membuka ruang mempersendakan agama Islam apabila seorang pengguna media sosial meninggalkan komen pada hantaran itu yang dipercayai mengaitkan ‘ham’ dengan nama Nabi Muhammad SAW.