PETALING JAYA: Polis giat mengesan tiga individu didakwa cuba menyebarkan risalah agama Kristian secara terbuka dalam satu video tular di laman sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima satu laporan polis kira-kira pukul 10.19 malam, kelmarin berhubung video tular menunjukkan tiga individu menyebarkan risalah agama kristian secara terbuka di hadapan sebuah pasar raya, Desa Setapak di sini.
“Justeru, kita sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu video menunjukkan tiga individu termasuk dua warga asing didakwa menyebarkan agama Kristian di hadapan sebuah pasar raya.
Tindakan itu dirakam orang awam yang turut mempersoalkan perbuatan mereka yang dianggap salah dan menyalahi undang-undang negara ini.- UTUSAN