KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama lebih 5,000 jemaah di Masjid India, di sini hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di masjid tersebut pada 1.20 petang dengan disambut oleh pengurusan masjid dan jemaah yang berada di sana.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menghayati khutbah bertajuk ‘Memuliakan Rejab, Menggarap Mustajab’ yang disampaikan oleh Imam Nasrul Haq Abdul Latif.
Khutbah yang kebiasaan disampaikan dalam Bahasa Tamil itu, disampaikan dalam Bahasa Melayu pada hari ini.
Khutbah tersebut mengingatkan bahawa dalam Al-Quran, terdapat empat bulan ‘haram’ daripada 12 bulan dalam kalendar Hijriah yang dimuliakan, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam, dan Rejab.
Khutbah itu juga menyentuh keistimewaan bulan-bulan tersebut kerana amalan baik dilipatgandakan pahalanya, manakala dosa yang dilakukan membawa kesan lebih besar.