PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membawa suara kolektif ASEAN ke pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Switzerland, minggu ini.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kehadiran Anwar di WEF 2025 bermula hari ini hingga Jumaat akan memfokuskan isu perubahan iklim, tenaga boleh baharu, transformasi digital dan pembangunan mampan.
Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Nadzirah Osman berkata, penyertaan itu penting untuk menarik peluang perdagangan dan pelaburan baharu selaras dengan sasaran ekonomi jangka panjang Malaysia.
“Kehadiran Perdana Menteri akan mengetengahkan keutamaan dan cabaran ASEAN termasuk isu bersama seperti perubahan iklim, tenaga boleh baharu, transformasi digital dan pembangunan mampan.
“Ini turut membuka peluang bagi kerjasama strategik antara ASEAN dan komuniti antarabangsa membuka peluang kerjasama strategik dengan komuniti antarabangsa termasuk pembiayaan teknologi,” katanya pada sidang media sempena kehadiran Anwar di WEF 2025.
Ini destinasi akhir lawatan kerja Perdana Menteri yang turut membabitkan kunjungan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom (UK).
Acara WEF 2025 juga adalah penyertaan pertama Anwar sejak menyandang tugas Perdana Menteri.
Anwar dijangka tiba lewat malam ini selepas lawatan ke Belgium akan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Nadzirah berkata, antara program berimpak tinggi yang akan disertai Anwar adalah Dialog Strategi Negara dengan kalangan pemimpin perniagaan syarikat global.
Katanya, program itu menyaksikan Perdana Menteri berkongsi keutamaan dan inisiatif Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan, selain meneroka peluang kerjasama bagi memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara.
Beliau akan turut menerajui sesi taklimat dengan media antarabangsa yang bertemakan “Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness” dengan tumpuan terhadap Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) dan peluang dalam transformasi digital.
“Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan ucaptama pada sesi pleno bertajuk “Even Stronger Together” bagi mengetengahkan keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam membentuk landskap ekonomi global,” katanya.
Jadual padat beliau termasuk mesyuarat dua hala dengan pemimpin Libya dan Belanda serta pertemuan dengan syarikat global seperti AstraZeneca, DP World, Medtronic, Nestle dan Google.
Perdana Menteri dijangka menerima kunjungan hormat Pengasas WEF dan Pengerusi Lembaga Amanah, Klaus Schwab.
Bertemakan “Collaboration for the Intelligent Age”, WEF 2025 berlangsung dari 20 hingga 24 Januari dengan perbincangan menumpukan peranan teknologi baharu dalam mengatasi cabaran ekonomi global yang meliputi lima keutamaan termasuk pembangunan kepercayaan dan perlindungan planet.