SHAH ALAM: Tujuh kakitangan penjawat awam di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang dipindahkan ke jabatan lain selepas dikesan menjalankan kegiatan menukar hak milik tanah secara tidak sah, baru-baru ini.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Datuk Dr. Yusri Zakariah berkata, insiden tersebut tidak melibatkan kakitangan di bawah jabatannya, namun kakitangan dipindahkan itu tidak lagi bertugas di bahagian yang melibatkan pengurusan tanah.
“Mereka dipindahkan ke bahagian lain sementara menunggu siasatan yang dibuat polis ketika ini.
“Pihak kami turut melakukan siasatan dalaman ke atas kesemua yang terlibat serta melakukan serta bahagian berkaitan berhubung kes itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Jentera Low Loader dan Kawad Bulanan Penguatkuasaan Pentadbiran Tanah Negeri Selangor, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan penglibatan individu lain dalam percaya kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di sebuah pejabat tanah dan galian (PTG) di Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya setakat ini menahan 17 individu termasuk tujuh penjawat awam untuk membantu kes berkenaan.
Jelas Yusri, jenayah itu berlaku di antara bulan Ogos dan November tahun lalu dan pihaknya sudah memberikan keterangan serta bahan bukti kepada polis.
“Kami melihat kakitangan ini melakukan perbuatan tersebut semasa PTGS sedang melakukan penukaran sistem lama kepada sistem baharu, iaitu sistem e-Tanah (untuk melakukan penukaran hak milik tanah).
“Ini adalah satu tindakan tidak berintegriti yang dibuat kakitangan ini dan saya perkara ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.
Malah, beliau meminta orang ramai tidak bimbang mengenai kejadian tersebut kerana ia tidak melibatkan pihak luar atau serangan secara menggodam sistem pengurusan tanah.
Bagaimanapun, Yusri meminta orang ramai memeriksa status pemilikan tanah mereka dalam laman e-Tanah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun bagi memastikan nama mereka kekal sebagai pemilik tanah dalam sistem berkenaan. – UTUSAN