KLANG: Suasana di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini, kecoh apabila waris tidak dibenar menyaksikan proses penggalian dan pemindahan kubur bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati puluhan ahli keluarga mula berkumpul di luar kawasan berpagar itu, kira-kira pukul 8 pagi, namun keadaan bertukar kecoh apabila proses penggalian dilakukan berikutan tiada waris dibenarkan memasuki tanah perkuburan tersebut.
Keadaan bagaimanapun kembali reda dengan kehadiran puluhan anggota polis yang mengawal ketat kawasan tersebut.
Seorang waris, Zainor Hafiz Kateman, 40, pihaknya kecewa dengan keadaan tersebut apabia tiada penjelasan diberikan pihak terlibat, namun akur dengan arahan penggalian dan pemindahan itu.
“Sekurang-kurangnya sekurang-kurangnya seorang waris perlu turut melihat proses berkenaan di hadapan mata sendiri. Ini bagi memastikan proses itu berjalan lancar dan memuaskan hati kami melihat jenazah buat kali terakhir sebelum dipindahkan.
“Selain tidak dibenarkan masuk, pihak terlibat tidak memberi penjelasan terperinci mengenainya,” katanya ketika ditemui di lokasi itu.
Tinjauan juga mendapati dua jentolak mula melakukan proses menggali bermula kira-kira pukul 11 pagi dengan turut disertai beberapa pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kontraktor terlibat.
Berdasarkan notis ditampal di pagar tanah perkuburan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 18 Julai 2023 dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 9 Oktober tahun lalu telah menimbang teliti, meluluskan Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam yang terlibat dengan Jajaran ECRL berkenaan.
Notis itu menyatakan pihak waris diminta melakukan proses pengecaman plot kubur ahli keluarga masing-masing.
Difahamkan, proses itu melibatkan lebih 20 kubur mulai hari ini dan akan dilakukan secara berperingkat.
Seorang lagi waris, Ainun Jahari, 68, turut berasa kesal kerana kali kedua tidak berpeluang menyaksikan pengebumian arwah suaminya yang meninggal dunia pada Mei 2022.
“Saya sebelum ini tidak dapat melihat proses itu kerana masih berada dalam tempoh iddah. Tidak sangka keadaan kali ini juga sama dan saya hanya mampu melihat dari celahan pagar di luar kawasan kubur,” luah nenek kepada 10 cucu itu.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan kira-kira 90 kepuk kubur di kawasan itu telah ditanggal dan dialihkan pihak terlibat.
Pada 13 November tahun lalu, seramai 48 waris dan ahli keluarga kekal membantah pemindahan kubur itu dan menyerahkan memorandum di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Seramai 90 waris pada Mei lalu mendakwa tapak kubur ahli keluarga mereka akan digali dan hanya diberikan batu nisan sepanjang pembinaan projek berkenaan. – UTUSAN