GEORGE TOWN : Kerajaan negeri dijangka meneruskan komitmennya ke arah pembangunan mampan melalui projek Pan-Island Link 1 (PIL 1) yang dilihat mampu menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas serta meningkatkan tahap kesalinghubungan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan, dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, PIL 1 adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memperkukuh jaringan pengangkutan dan memastikan Pulau Pinang terus berkembang sebagai negeri moden dan kompetitif.
“Dengan perkembangan pesat ke arah selatan George Town, jalan-jalan utama seperti Jalan Masjid Negeri kini tidak lagi mampu menampung jumlah trafik yang meningkat.
“Justeru, projek PIL1, yang dirancang sebagai laluan lingkaran luar, akan bertindak sebagai penyuraian trafik utama, sekali gus mengurangkan kesesakan di jalan-jalan sedia ada termasuk Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Jalan Masjid Negeri,” katanya di sini, semalam.
Sebelum ini, sebuah portal dalam laporannya mendakwa, cadangan pembinaan PIL 1 di Pulau Pinang mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan aktivis, yang memberi amaran bahawa pembinaannya mungkin menjejaskan potensi jumlah penumpang sistem LRT yang dirancang oleh negeri itu.
Menurut Zairil, PIL 1 akan menghubungkan enam persimpangan strategik dari Gurney hingga ke tenggara pulau dan ia bukan sahaja akan membantu menyuraikan trafik, malah, meningkatkan mobiliti penduduk serta menyokong pertumbuhan ekonomi.
Zairil berkata, dalam hal ini, kerajaan negeri bercita-cita untuk mencapai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam melalui projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang akan dimulakan tidak lama lagi.
Namun, katanya, walaupun sasaran itu berjaya dicapai, infrastruktur jalan raya masih diperlukan kerana 60 peratus penduduk tetap bergantung kepada kenderaan darat.
“PIL 1 dan LRT bukan pesaing, sebaliknya pelengkap yang memenuhi keperluan pengangkutan berlainan,” katanya yang merujuk kepada model Singapura, di mana pembangunan jalan raya terus dilaksanakan walaupun perkongsian mod rel mencapai 70 peratus.
Mengulas mengenai kebimbangan alam sekitar pula, Zairil berkata, projek itu menggunakan teknologi terowong dan jambatan kabel penahan untuk meminimumkan impak terhadap kawasan sensitif seperti bukit dan kawasan hijau.
“Penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek ini akan dikemas kini dan diserahkan semula untuk kelulusan sebelum sebarang kerja dimulakan. Langkah ini adalah bukti komitmen kerajaan terhadap pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Tambah Zairil, projek PIL 1 juga dijangka meningkatkan akses ke Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas (FIZ) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan, dengan akses yang lebih baik, kerajaan negeri yakin dapat menarik lebih banyak pelaburan.-UTUSAN.