PEKAN: Pihak yang terlibat dalam menyorok Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah digesa memohon maaf terhadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd. Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, tindakan tersebut jelas suatu penderhakaan dan penghinaan kepada Al-Sultan Abdullah.
“Sewajarnya menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat menjunjung titah tersebut dengan sebaiknya. Permohonan ampun kepada Sultan Pahang perlu dibuat serta merta kerana kegagalan melaksanakan Titah Adendum.
“Ini bagi memastikan perkara ini tidak menjadi ‘duluan kehakiman’ bagi mana-mana Titah Adendum yang wujud pada masa akan datang. Perkara kedua, ketiga dan keempat dalam Rukun Negara perlu bergerak seiring untuk memastikan tatakelola negara ini berjalan dengan harmoni.
“Jika tidak kerana Titah Adendum ini diperam lebih daripada 10 bulan, pastinya ‘huru-hara politik’ seperti mana terjadi ketika ini tidak berlaku. Sehinggakan Jabatan Peguam Negara (AGC) terpaksa masuk pejabat hari Sabtu untuk meneutralkan keadaan,” katanya di sini.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.
Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dalam permohonan yang difailkan pada April lalu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas ahli Parlimen Pekan itu apabila memutuskan empat afidavit menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima pakai kerana ia khabar angin semata-mata.
Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum.
Bagaimanapun, pada 28 Disember lalu, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa semua permohonan pengampunan termasuk kes membabitkan Najib perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas lanjut, Mohd. Fakhrul membangkitkan persoalan tentang kesahihah afidavit anak sulung bekas Perdana Menteri itu, Datuk Muhammad Nizar yang turut menyertakan salinan asal Titah Adendum selepas afidavit sebelum ini yang dikeluarkan Ahmad Zahid dan Wan Rosdy dikatakan hanya dengar cakap.
“Dengan adanya salinan asal tersebut, tidak timbul soal subjudis atau apa-apa tindakan mendahului keputusan mahkamah kerana perkara itu sememangnya wujud dan bukannya cerita rekaan.
“Sebarang penolakan daripada pihak mahkamah pada 6 Januari nanti berkenaan salinan itu pasti akan mewujudkan krisis moral dan Perlembagaan, apatah lagi Titah Adendum itu sudah disahkan kewujudan oleh tiga orang yang sukar dipertikaikan kredibilitinya,” katanya. – UTUSAN