TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan lembu untuk pasaran tempatan selepas menahan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki di Kampung Belukar, Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor, kelmarin.
Semasa melakukan rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 12.50 pagi apabila menahan sebuah lori jenis Hicom yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori itu menemukan 10 ekor lembu dengan anggaran berat lebih 6,500 kilogram (kg).
Menurutnya, kesemua lembu tanpa dokumen yang sah itu dipercayai diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram di Sungai Golok dekat sini.
“Lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai menjadi penghantar lembu. Kesemua lembu tersebut dibawa masuk untuk pasaran tempatan.
“Nilai keseluruhan rampasan keseluruhan termasuk lori berjumlah RM97,500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barang rampasan bawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Taman Bakti untuk tindakan sebelum diserahkan kepada dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).-UTUSAN