PASIR MAS: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menyerbu sebuah ‘makmal’ memproses air ketum dan menahan dua lelaki di Kampung Belukar di sini kelmarin.
Penahan dua lelaki berusia 24 dan 23 tahun pada pukul 3 petang itu membawa kepada rampasan air ketum, daun ketum dan peralatan yang digunakan untuk memproses minuman tersebut.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, keseluruhan rampasan itu dianggarkan berjumlah RM15,720.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di lokasi telah menjumpai 280 bungkus air ketum dan 528 bungkus daun ketum.
“Turut ditemukan peralatan yang digunakan untuk memproses bahan terlarang itu.
“Kedua-dua suspek di tahan untuk siasatan lanjut dan kesemua rampasan telah dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Taman Batik,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Katanya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pengedaran air ketum dari terus berleluasa di sempadan negara.-UTUSAN