KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki menampar petugas Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) hanya kerana kenderaan perdagangannya gagal dalam ujian brek ketika pemeriksaan berkala mencetuskan kecaman pelbagai pihak.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, siasatan dalaman mendapati kejadian itu berlaku apabila suspek bersemuka dengan pemeriksa kenderaan terlibat dan menyerang secara tiba-tiba selepas menerima keputusan ujian tersebut.
“Kegagalan dalam ujian pemeriksaan berkala menunjukkan kenderaan tersebut tidak selamat untuk digunakan di jalan raya.
“Pelanggan sepatutnya menerima keputusan tersebut dengan baik dan mengambil langkah untuk membaiki kenderaan demi keselamatan mereka serta pengguna jalan raya yang lain, bukannya menyerang kakitangan kami,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Mahmood, pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk keganasan yang dilakukan terhadap kakitangan Puspakom dan menegaskan keselamatan kakitangan adalah keutamaan organisasi tersebut.
“Kami komited memastikan dasar keselamatan di tempat kerja dilaksanakan tanpa pengecualian.
“Puspakom juga akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pelaku menerima tindakan undang-undang yang setimpal,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mahmood turut memuji sikap profesional yang ditunjukkan oleh petugas terbabit apabila tidak membalas serangan.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden seorang lelaki mengasari petugas Puspakom di sebuah cawangan di Johor Bahru tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan pihaknya mengesan video tersebut kira-kira pukul 3 petang melalui satu pautan di aplikasi X .
“Kami sedang menjalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian tersebut,” katanya. – UTUSAN