Pesawah di Perlis berkumpul, desak harga padi dinaikkan RM1,800

Pesawah di Perlis berkumpul, desak harga belian padi dinaikkan RM1,800

PESAWAH di Perlis berkumpul mendesak kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800 per tan metrik di Jalan Tengah Kubang Gajah-Banat, Arau, Perlis, hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pesawah di negeri ini mendesak kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800 per tan metrik yang bersesuaian dengan situasi semasa berikutan peningkatan kos tanaman dan input pertanian.

Harga belian padi ketika ini menjunam pada harga lantai RM1,300 per tan metrik dan situasi tersebut memberi tekanan buat pesawah.

Seorang pesawah, Hussam Ilias, 50, berkata, kos pengurusan tanaman padi sangat tinggi malah kebanyakan pesawah juga tidak dapat meraih pulangan hasil yang diharapkan.

“Macam saya sendiri usahakan 20 relung tanaman padi memerlukan anggaran kos sekitar RM15,000 semusim untuk menabur, meracun, membaja dan pelbagai lagi.

“Kos bagi tanaman padi untuk satu relung pula adalah sekitar RM580 ke RM600 dan harga belian padi yang rendah ini pastinya akan membebankan kami,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan tuntutan naikkan harga padi
di Jalan Tengah Kubang Gajah-Banat, di sini, hari ini.

Lebih 300 pesawah dari dalam dan luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkumpul dalam himpunan itu bagi mendesak kerajaan agar mengambil tindakan segera ke atas isu yang dihadapi tersebut.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd Ridzuan Hashim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji.

Penganjur himpunan tersebut, Mohd Noor Hashim, 62, berkata, harga belian padi pada ketika ini sudah tidak relevan memandangkan kos baja, jentera dan tenaga manusia telah meningkat sekitar 30 peratus.

“Keseluruhan kos untuk menghasilkan padi sehingga dijual di Perlis adalah sekitar RM1,500 serelung dan kita tak mampu bertahan jika isu harga belian ini berterusan,” katanya.

Mohd Noor berkata, pesawah di negeri ini berharap agar isu itu dapat diberi perhatian memandangkan mereka tidak mempunyai pilihan lain bagi meraih pendapatan.

Katanya, langkah bagi menjalankan tanaman kontan juga bukannya merupakan pilihan alternatif terbaik bagi membantu nasib pesawah terjejas.

“Ini adalah pekerjaan warisan kami sejak turun temurun dan sawah ini sudah jadi satu tradisi yang diturunkan sejak berzaman,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN