KANGAR: Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran sehingga lima juta pengunjung ke negeri ini yang kini menjadi antara lokasi pilihan pelancong bersempena tahun terakhir Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Jumlah tersebut dijangka mampu dicapai berikutan sepanjang tahun ini Perlis bakal padat dengan acara pelancongan selain kerajaan negeri juga giat mengenal pasti beberapa lagi lokasi baharu yang berpontensi menjadi tarikan pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, dalam tempoh berbaki setahun TMPs 2024/2025, kerajaan negeri akan terus berusaha menaikkan industri pelancongan di negeri ini sekali gus menarik kehadiran pengunjung.
Kata beliau, pihaknya menyasarkan empat sehingga lima juta pengunjung ke negeri ini bukan sahaja pelancong tempatan malah dari seluruh dunia datang ke Perlis bagi menikmati keindahan dan keunikan di negeri ini.
“Kelebihan Perlis adalah daripada keindahan alam semula jadi, bukit batu kapur berusia ratusan juta tahun. Pengunjung yang ingin merasai suasana tenang boleh berkunjung ke negeri ini. Selain itu, kita juga akan memastikan daripada aspek kebersihan.
“Selain daripada kawasan pelancongan sedia ada, kita juga berhasrat menaikkan tempat-tempat pelancongan baharu yang masih banyak lagi belum diketengahkan. Banyak lagi tempat-tempat menarik di Perlis masih belum dikenali dan kita akan tonjolkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Baru-baru ini, kerajaan negeri melancarkan kalendar atau takwim acara pelancongan sepanjang tahun ini yang cukup padat dari Januari sehingga Disember sekali gus bakal menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.
Pelbagai aktiviti dan program disusun atur dalam kalendar berkenaan yang juga berlatar belakangkan konsep pelancongan, seni dan budaya serta pelbagai acara lain melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi.
Terdapat 56 acara pelancongan yang telah dirancang dan bakal dijalankan sepanjang tahun 2025 yang merangkumi kluster pelancongan eko, membeli belah dan makanan, pelancongan agro, pelancongan sejarah, warisan, seni dan budaya serta pelancongan sukan dan rekreasi.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana jabatan, agensi atau NGO yang ingin mengadakan acara atau program untuk dimasukkan sekali ke dalam kalendar acara.
“Kalendar acara ini bukan sekadar menfokuskan kepada acara atau program, tetapi juga menjurus kepada tempat-tempat menarik untuk dilawati agar pakej atau program dapat disediakan bagi menjana ekonomi dan pendapatan rakyat negeri Perlis khususnya.
“Kerajaan negeri, jabatan Persekutuan dan NGO juga akan menggembleng tenaga bagi memastikan kawasan-kawasan pelancongan ini berada pada tahap terbaik bagi keselesaan pengunjung selain pemain industri juga digalakkan bersama-sama menerokai tempat baharu yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan di Perlis,” katanya.-UTUSAN