KANGAR: Perlis menjadi negeri pertama mengadakan sesi libat urus bersama agensi di bawah pelancongan negeri yang berlangsung di Komplesk Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini semalam.
Sesi tersebut turut melibatkan para pemain pelancongan serta acara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak lain berkaitan pelancongan di negeri ini.
Insiatif segera yang diambil Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah itu bertujuan memberi garis panduan kepada pemain serta NGO khususnya mengenai memohon dana pelancongan daripada kerajaan.
Ia turut melibatkan pihak dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Wilayah Utara yang memberi taklimat kepada mereka yang hadir pada sesi itu.
Sesi tersebut sekali gus membantu memudahkan para pemain dan pihak berkaitan pelancongan tersebut dalam menyemarakkan lagi aktiviti pelancongan di Perlis bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Abu Bakar berkata, sesi libat urus berkenaan memberi kesan yang cukup baik kepada pemain pelancongan dan NGO khususnya bagi mendapatkan garis panduan yang betul khususnya dalam memohon dana kerajaan untuk acara pelancongan.
Katanya, sebelum ini, masih ramai yang tidak mempunyai kefahaman dalam soal tersebut dan sesi libat urus ini diharap dapat membantu melalui taklimat yang diberikan.
“Kebanyakkan agensi, ejen, pemain pelancongan hadir dalam sesi libat urus tersebut untuk mendapatkan pemahaman yang sebetulnya sekali merancakkan acara pelancongan di Perlis selepas ini,” katanya.
Kata Abu Bakar, Perlis juga merupakan negeri pertama yang mengadakan sesi libat urus ini selepas pelancaran kalendar acara pelancongan baru-baru ini.-UTUSAN