KULIM: Kerajaan negeri meminta agensi yang bertanggungjawab mengawal sempadan perairan negara khususnya di Pulau Langkawi supaya tanah air tidak lagi dibolosi oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sekiranya sempadan negara dipantau dan dikawal rapi, amat mustahil untuk PATI dalam jumlah besar mendarat seperti yang berlaku di pulau peranginan itu, Jumaat lalu.
“Saya harap tiada agensi yang membiarkan perairan kita bocor. Kalau tak bocor macam mana boleh mendarat, maknanya ada kebocoranlah.
“Saya harap hal-hal ini diambil serius oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam menjaga sempadan perairan negara,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kulim Smart Pay di sini, semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan sebuah bot yang membawa 196 orang etnik Rohingya ditahan selepas mendarat di Pantai Awam Teluk Yu, Langkawi, pada pukul 3.25 pagi.
Sehari kemudian, dua lagi bot yang membawa kira-kira 300 PATI dari Myanmar itu diusir oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang berjaya mengesan kedudukan mereka di dua batu nautika barat daya Pulau Rebak, Langkawi.
Muhammad Sanusi berkata, walaupun sudah lama tidak berlaku pendaratan haram seperti itu namun Langkawi terus menjadi pilihan untuk golongan terbabit cuba memasuki negara.
“Langkawi ini kerap sangat (Rohingya mendarat) walaupun lama juga dah tiada pendaratan tapi sekarang ada pula. Saya harap sekali lagi tak ada kebocoranlah, amik tindakan yang tegas untuk mengelak hal itu berlaku lagi.
“Dulu dilaksanakan Op Benteng melibatkan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan polis sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Cuma kita tiada agensi yang berkaitan di peringkat negeri. Kotak (kuasa) itu kita tak ada, jadi itu semua agensi Persekutuan, maka mereka kena ambil perhatian agar tak berlaku lagi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk bertindak pantas bagi menguruskan proses penempatan semula perkampungan Bukit Malut di Langkawi.
“MKN sedang menguruskan hal itu, kita sudah setuju dengan MKN untuk buat pengambilan tanah tapi rumah itu depa (penduduk) kena beli.
“Proses itu memang ambil masa untuk pengambilan, bina rumah tapi kita nak MKN bertindak pantas sedikit, perbincangan sudah ada harap benda itu dipercepatkan,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri berharap projek yang dirancang itu dapat menghentikan sebarang polemik yang wujud selain tidak mahu lagi pembinaan rumah haram berleluasa sehingga ke dalam laut di kawasan itu.