KOTA BHARU: Penyanyi wanita sohor Kelantan yang popular dengan lagu-lagu daerah akan dibicara esok selepas menjalani tahanan reman di Penjara Narathiwat, Thailand baru-baru ini.
Ahli keluarga terdekat yang enggan dikenali berkata, perbicaraan itu berlangsung di Mahkamah Narathiwat pada pukul 1 petang waktu Thailand.
“Insya-Allah seluruh ahli keluarga akan hadir untuk memberi sokongan sepanjang proses perbicaraan tersebut berlangsung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan dan lima individu yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok, Thailand pada minggu lalu ditahan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan.
Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, tahanan reman itu dikeluarkan oleh pihak mahkamah untuk pihak polis menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
Menurutnya, kesemua individu itu akan dihantar ke Penjara Narathiwat sepanjang tempoh tersebut.
Mengikut undang-undang di Thailand, kesalahan memiliki 6,000 pil kuda boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda 200,000 baht atau RM25,880.-UTUSAN.