SEREMBAN: Beberapa besi penutup lubang sistem utiliti di bawah tanah di jalan-jalan sekitar kawasan Nilai di sini hilang dipercayai berpunca daripada aktiviti mencuri termasuk kabel utiliti.
Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Zon 3, R. Thanabalan berkata, sejak kebelakangan ini pihak kerap menerima laporan kecurian kabel utiliti malah pihaknya juga turut mengesan sebanyak 10 besi penutup lubang tersebut juga hilang.
“Apabila penutup lubang ini lesap sudah semestinya ia akan mengundang bahaya kepada orang ramai yang melaluinya kerana ia boleh menjadi lubang perangkap jika tidak berhati-hati.
“Lebih membimbangkan ketika musim hujan kebelakangan yang membataskan penglihatan pengguna jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, atas dasar keprihatinan, masalah tersebut turut mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Skuad Pantas Nilai dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Nilai, Batang Benar.
Menurutnya, kedua-dua pertubuhan tersebut telah bekerjasama dengan bertindak segera menutup semula lubang yang dikesan hilang penutupnya itu.
“Tujuan dilaksanakan tindakan segera ini adalah demi memastikan keselamatan orang ramai dan kita tidak mahulah apabila berlakunya musibah baru nak diambil tindakan,” katanya.
Beliau memberitahu, antara kawasan yang dikesan hilang penutup lubang sistem utiliti itu ialah Taman Semarak dan Nilai 3.