BESUT: Hasil inovasi sekumpulan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan dengan Kepujian Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya mencipta minuman kesihatan dengan menggunakan rambut atau bulu jagung.
Tuan Nursyawina Tuan Samsol Haidi, 23, berkata, produk itu dihasilkan bersama empat lagi pelajar iaitu Chan Wei Wen, 24, Hadia Aqilah Helmi, 24, Akmal Najmi Ahmad Syukri, 23, dan Anis Hazirah Hazim, 23.
“Lazimnya bulu jagung ini dibuang dan orang ramai tidak mengetahui khasiatnya. Kami cuba menghasilkan satu produk minuman untuk diperkenal kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Bagi menghasilkan produk ini, kami menggunakan ramuan utama rambut jagung, bijirin oat dan biji jagung,” katanya pada program peluncuran produk makanan baharu 2025 di UniSZA Kampus Besut di sini, kelmarin.
Menurut Tuan Nursyawina, rambut jagung itu difermentasi bersama gula selama sehari sebelum dikeringkan pada suhu 150 darjah celsius di dalam ketuhar dalam tempoh 20 minit.
Katanya, bahan-bahan itu dikisar halus dan dimasak bersama air bagi menghasilkan rasa aslinya sebelum diproses bersama susu oat dan gula melaka.
“Minuman ini mempunyai pelbagai khasiat dalam mengatasi masalah diabetis, mencegah kolestrol, baik untuk buah pinggang dan melawaskan kencing,” katanya.
Katanya, mereka melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama enam bulan sebelum berjaya menghasilkan produk minuman itu.
Menurutnya, berdasarkan kajian yang dilakukan, mereka mendapati jumlah rambut jagung yang dibuang hasil daripada tuainya buahnya adalah lebih banyak berbanding biji yang diambil.-UTUSAN.