Penunggang maut terlibat dalam kemalangan empat kenderaan

Penunggang maut terlibat dalam kemalangan empat kenderaan

Penunggang maut
KEADAAN motosikal mangsa selepas dilanggar sebuah Toyota Alphard dan menghentam Honda HRV dalam kejadian kemalangan dekat Jalan Platinum 7/60, Seksyen 7, di Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pengurus syarikat maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan dekat Jalan Platinum 7/60, Seksyen 7, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 pagi, penunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 itu dilanggar oleh MPV berkenaan yang hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari arah kawasan perumahan ke Persiaran Bestari.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, Toyota Alphard berwarna hitam itu kemudian melanggar belakang motosikal ditunggang lelaki berusia 46 tahun yang bergerak di arah sama.

“Kemalangan itu menyebabkan motosikal tersebut melanggar sebuah Honda HRV yang di parkir di sebelah kiri jalan dan mengakibatkan penunggang tersebut jatuh ke atas jalan.

“Akibat daripada itu, pemandu Toyota Alphard iaitu seorang lelaki berusia 38 tahun cuba mengelak lalu bahagian belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5 yang berada di hadapannya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, susulan itu, penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Shah Alam.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pemandu MPV berhenti dan masih berada di tempat kejadian semasa polis tiba, kemudian dia ditahan untuk diambil sampel urin dan darah bagi melengkapkan siasatan.

“Keputusan urin negatif dari pengaruh dadah. Bagaimanapun, sampel darah juga diambil untuk diuji oleh Jabatan Kimia,” ujarnya.

Katanya lagi, saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Muhammad Syahrul Zulkeflee di talian 010-4589850. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya