SHAH ALAM: Pemandu yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut dekat Jalan Klang – Teluk Intan di Jeram, Kuala Selangor pada Selasa lalu disahkan sebagai pegawai kanan polis yang bertugas di Bukit Aman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis sudah mengambil keterangan pegawai berkenaan yang dikenal pasti sedang bercuti ketika kejadian.
Menurutnya, berdasarkan rakaman-rakaman video yang tular dalam media sosial menunjukkan pegawai berkenaan mengalami terlelap atau micro sleep ketika sedang memandu di lokasi kemalangan.
“Pegawai itu cedera dan masih dirawat di hospital dan kita akan melihat jika ada keperluan untuk membuat tangkapan ataupun tidak, tetapi kita buat ujian urin dan didapati negatif selain mengambil keterangannya.
“Yang penting, kita lengkapkan siasatan daripada saksi-saksi yang ada di tempat kejadian juga dibantu keterangan daripada rakaman kamera papan pemuka yang kita sudah perolehi dan juga kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah di kawasan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Jelas Hussein, kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 membabitkan kemalangan yang mengakibatkan pengguna jalan raya maut.
Terdahulu, tular video kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa berwarna merah yang memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal.
Insiden tersebut tular berikutan terdapat dakwaan pemandu tersebut merupakan seorang pegawai polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.
Bagaimanapun, Hussein memberitahu pihaknya memberi jaminan untuk melakukan siasatan yang telus serta adil dan merujuk kepada pendakwa raya bagi sebarang keputusan atau tindakan lanjut.
“Siasatan dimulakan bersabit dengan kesalahan di bawah seksyen kemalangan maut dan kita akan rujuk kepada pendakwa raya secepat mungkin untuk sebarang keputusan.
“Pegawai itu cedera dan masih dirawat di hospital dan kita akan melihat jika ada keperluan untuk membuat tangkapan ataupun tidak, tetapi kita buat ujian urin dan didapati negatif selain mengambil keterangannya,” ujarnya. – UTUSAN