KUALA SELANGOR: Penternak diarah tidak lagi melepaskan haiwan ternakan mereka seperti dahulu berikutan peningkatan bilangan pengguna jalan raya termasuk di kawasan-kawasan kampung.
Malah, ia tidak lagi boleh dilepaskan secara bermusim seperti dilakukan oleh penternak pada 1960-an.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, haiwan ternakan kini perlu dikawal walaupun ia dilepaskan di dalam ladang kelapa sawit bagi mengelakkan ia berkeliaran di jalan raya dan mengakibatkan kemalangan.
“Kerajaan boleh bertindak menurut akta kawalan ternakan, tetapi sebelum bertindak kita harap semua (tidak biarkan ternakan berkeliaran) sebab sekarang di jalan kampung pun terlalu banyak kenderaan lori dan sebagainya.
“Tak boleh lagi kita ternak kambing, lembu, kerbau seperti kita ternak pada 1960-an. Boleh lepas tetapi dalam ladang kelapa sawit yang dikawal juga. Macam sawit Kinabalu, mereka lepas dalam ladang itupun ada pagar elektrik,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat tapak Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seramai 109 pengguna jalan raya maut di seluruh negara disebabkan haiwan peliharaan atau ternakan sepanjang tahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, sebanyak 14,560 kes kemalangan membabitkan haiwan liar, haiwan peliharaan dan ternakan dicatatkan di seluruh negara dengan 13,877 kes kemalangan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah itu, selain kematian, sebanyak 30 kes kemalangan melibatkan kecederaan parah dan 544 kes lagi cedera ringan. – UTUSAN