DUNGUN: Meskipun larangan supaya aktiviti mengutip kerang di pantai daerah ini dikeluarkan polis, masih ada individu yang ingkar dan tetap melakukan aktiviti itu.
Tinjauan di Pantai Sura di sini semalam mendapati, sejak pukul 9 pagi, orang ramai berpusu-pusu datang ke pantai itu untuk mengutip kerang. Bagaimanapun, jumlah itu berkurangan berbanding kelmarin.
Seorang pengunjung, Ahmad Taufiq Ramzi, 40, dari Kijal, Kemaman berkata, dia tidak mengetahui larangan yang dikeluarkan polis.
“Saya tiba di pantai ini kira-kira pukul 11 pagi. Saya tengok masih ramai orang kutip kerang, jadi saya turut mengutip kerang untuk dibawa pulang dan dijual.
“Saya ambil peluang untuk mendapatkan kerang segar ini bagi mendapat wang tambahan. Saya tak jual dengan harga mahal, hanya RM10 untuk tiga kilogram,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Laili Alimi, 47, dari Pulau Serai, di sini, mendakwa dia juga tidak tahu mengenai larangan aktiviti itu.
“Mungkin larangan itu baharu dikuatkuasakan. Saya kurang mengakses media sosial. Saya tak baca mengenai larangan tersebut.
“Saya hanya datang ke pantai ini kutip kerang untuk makan bersama ahli keluarga. Kalau hari-hari biasa kerang agak mahal dan agak jarang kami dapat makan kerang,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, larangan mengutip kerang di sepanjang pesisir pantai daerah ini dikuatkuasakan serta-merta demi keselamatan susulan angin kencang dan ombak besar yang mencecah 4.4 meter.
Sejak Ahad lalu, Pantai Sura menjadi tumpuan ramai selepas ribuan kerang terdampar di pantai itu tular dalam laman sosial.-UTUSAN.