KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki tiga bilah parang tanpa tujuan sah di Kubang Kerian dekat sini kelmarin.
Tertuduh, Nik Azahar Mohamed, 51, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Zulkifli Abllah selepas pertuduhan itu dibacakan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki tiga bilah parang masing-masing berukuran 51 sentimenter (cm) ,60 cm dan 62 cm tanpa maksud yang sah.
Perbuatan itu dilakukan di kawasan Taman Kub, Kampung Chica, Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 2.10 pagi pada 13 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara daripada lima hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Husni Mubarak Ghazali.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Muhammad Husni Mubarak kemudian memohon jaminan paling rendah dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan seorang anak dengan pendapatan sebanyak RM 700 sebulan sebagai pengawal keselamatan secara sambilan.
“Tertuduh dan isterinya turut mengalami masalah kesihatan iaitu penyakit buah pinggang dan diebetes,” ujarnya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikan jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengangggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 25 Februari depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut.-UTUSAN