Peneroka bantah syarat hanya lori kuasa hidraulik ke kilang - Utusan Malaysia

Peneroka bantah syarat hanya lori kuasa hidraulik ke kilang

ANTARA lori tanpa kuasa hidraulik yang masih digunakan bagi membawa buah tandan segar (BTS) ke kilang sawit di Jengka, Maran, Pahang. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Peneroka Felda Wi­layah Jengka membantah syarat terbaharu FGV Holdings Berhad yang menetapkan hanya lori mempunyai kuasa hidraulik dibenarkan mengangkut buah tandan segar (BTS) ke kilang memproses sawit milik agensi itu mulai tahun ini.

Ketetapan FGV itu dipercayai ekoran kemalangan yang menyebabkan kematian tahun lalu ketika proses pemunggahan BTS secara manual di sebuah kilang milik agensi berkenaan.

Ketua Peneroka Felda Kesidang Jengka 8, Shahrin Othman, 64, berkata, arahan itu membebankan dan tidak munasabah dilaksanakan kerana melibatkan kos-kos tambahan yang akhirnya bebannya disalurkan kepada peneroka.

“Saya mewakili 36 ketua pe­neroka Felda Wilayah Jengka menyuarakan bantahan rasa tidak puas hati kepada pengurusan Wilayah Jengka untuk dipertimbang semula arahan berkenaan.

“Bagaimanapun FGV memberi masa sehingga 1 Julai ini untuk membeli kenderaan baharu atau menaik taraf daripada biasa kepada sistem hidrolik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ketua Peneroka Keembong Jengka 6, Saharuddin Lela, 67, berkata, arahan FGV itu dibuat tanpa melihat realiti di lapangan yang mana warga Felda bertungkus-lumus dan bermandi peluh dalam proses pengeluaran BTS sehingga ke peringkat akhir pemunggahan di kilang.

Kataya, jika syarat baharu itu dikuatkuasakan, setiap pemilik kenderaan terpaksa mengeluar kos tambahan antara RM15,000 hingga RM20,000 menukar kepada sistem hidrolik.

Ketua Peneroka Felda Sungai Nerek, Sapian Hussain, 65, pula menyifatkan, arahan itu tidak relevan dengan situasi sebenar di rancangan Felda kerana bukan diuruskan oleh ladang swasta.

Menurutnya, ada dalam ka­langan peneroka dan generasi baharu Felda yang menggunakan lori tanpa hidrolik masih lagi berhutang dengan institusi perbankan.

“Jika FGV berkeras dengan arahan ini, saya bimbang trend jualan BTS kepada penimbang swasta berleluasa dan mereka mendapat laba besar.

“Saya berharap FGV tidak bersikap sebagai tuan besar yang tidak mempedulikan masalah peneroka di lapangan kerana masing-masing ibarat satu anggota yang saling bergantung demi kemajuan industri sawit negara,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya