Penduduk Taman Saujana resah tembok konkrit runtuh punca banjir

Penduduk Taman Saujana resah tembok konkrit runtuh punca banjir

Tebing runtuh
AMIN Yaziz (kiri) menunjukkan runtuhan tembok konkrit yang runtuh di Taman Saujana Aman, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih 1,000 penduduk Taman Saujana Aman di sini, gelisah dengan keadaan tembok konkrit di tebing Sungai Buloh sepanjang kira-kira 1 kilometer (km) apabila terdapat kesan rekahan dan retak, malah sebahagiannya sudah runtuh.

Penduduk, Shahrizan Husin, 43, berkata tembok yang dibina sejak dua tahun lalu itu berfungsi menghalang limpahan air dari Sungai Selangor memasuki kawasan perumahan terutama pada musim hujan.

“Namun, ia seperti tidak diselenggara sepenuhnya hingga menyebabkan berlaku rekahan akibat pergerakan tanah dan hakisan sungai. Tembok yang runtuh pula hanya dibaik pulih dengan menggunakan guni dan timbunan tanah. Kami bimbang tanah itu mendap akibat tidak dikonkrit,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, keadaan itu meresahkan penduduk jika masih tiada tindakan susulan dilakukan pihak berwajib.

“Jika tembok itu runtuh, rumah kami akan terjejas dengan banjir besar sekali gus mengalami kerugian harta benda. Jarak Sungai Selangor dengan tembok itu hanya sejauh lima meter manakala 10 meter dari kediaman penduduk,” ujarnya.

Bagi Pengerusi taman itu, Amin Yaziz Bani Yamin berkata, penduduk yang menghuni perumahan berkenaan sejak 2018 sudah mengajukannya kepada pihak berwajib namun belum diselesaikan sehingga kini.

“Sebanyak 315 unit rumah di taman itu berisiko banjir jika perkara itu masih tidak dipandang serius pihak berwajib. Sudah banyak kali perumahan ini banjir kerana air dari Sungai Selangor melimpah ke kawasan kediaman penduduk,” jelasnya.

Tambah beliau, pihak berwajib diminta mengambil langkah pencegahan segera termasuk membaik pulih tembok konkrit yang runtuh itu.

“Selain itu, saya mencadangkan tembok baharu dibina bagi menggantikan tembok lama yang tidak lagi kukuh. Pihak berwajib juga boleh menutup lubang saliran air buang bagi mengelak risiko banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN