PASIR SALAK: Penduduk Kampung Permatang Pelandok di sini menggesa pihak berkenaan segera membaiki ban sungai yang pecah sehingga menyebabkan kampung mereka dilanda banjir termenung sejak tiga bulan lalu.
Penduduk berkata, air Sungai Kinta sudah surut, sekali gus membolehkan kerja-kerja memperbaiki ban pecah dilakukan.
Sebelum ini, ban yang pecah tidak dapat dibaiki kerana paras air sungai naik menyebabkan air melimpah ke kawasan penduduk.
Ketua kampung, Kamalruzaman Kamalrudin berkata, air sungai yang surut membolehkan kerja-kerja membaiki ban pecah dilakukan namun setakat ini tiada sebarang kerja baik pulih dibuat.
“Sebelum ini, ada rumah penduduk dilanda banjir termenung selama hampir tiga bulan disebabkan ban pecah selepas air Sungai Kinta mengalir ke kampung dan kebun sawit penduduk.
“Sekarang adalah masa yang sesuai untuk membaiki ban yang pecah namun sehingga kini kerja baik pulih dilakukan,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan penduduk kampung itu hidup dalam banjir yang melanda sejak tiga bulan lalu akibat ban pecah.
Banjir di kampung itu menjejaskan sebanyak 25 buah rumah dan dalam tempoh tersebut, banjir hanya surut sekejap dan kejadian ban pecah menyebabkan banjir kembali melanda, menyaksikan penduduk menumpang di rumah saudara-mara.