Penduduk, MPKL pasang perangkap tangkap anjing liar

Penduduk, MPKL pasang perangkap tangkap anjing liar

Perangkap anjing
ANJING liar masuk perangkap yang dipasang penduduk dekat Kampung Labohan Dagang, di Kuala Langat, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Penduduk Kampung Labohan Dagang di sini memasang sembilan perangkap untuk menangkap anjing-anjing liar yang mengancam keselamatan mereka sejak beberapa tahun lalu.

Perangkap tersebut disediakan oleh Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Menurut seorang penduduk, Nor Azli Sanut,60, perangkap yang dipasang menggunakan perangkap diperbuat daripada besi itu menjadikan makanan seperti ikan sardin sebagai umpan.

“Saya difahamkan pada masa akan datang MPKL akan menambah lagi sangkar untuk perangkap anjing liar ini.

“Mudah-mudahan dengan usaha bersama ini akan dapat mengurangkan jumlah bilangan anjing liar yang kita maklum terlalu banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika meninjau operasi menangkap anjing liar, semalam.

Terdahulu, penduduk kampung itu dilaporkan berasa bimbang dengan kehadiran anjing liar yang menyebabkan kacau ganggu haiwan tersebut kepada mereka.

Malah terdapat anjing yang berkeliaran bertindak agresif, termasuk mengejar penduduk, terutamanya kanak-kanak yang berjalan kaki ke sekolah.

Seorang lagi penduduk, Abdul Fatah Mohd.Rajum, 33, memberitahu, dia berharap tindakan menangkap anjing liar tersebut akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Kami berharap pihak terbabit segera bertindak kerana ramai menjadi mangsa dikejar anjing dan ada yang kemalangan, jangan sampai berlaku perkara tidak diingini hingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Sementara itu menurut kenyataan pihak MPKL, pihaknya mengatur tindakan segera dengan melaksanakan dua siri operasi di kampung tersebut dan berhasil menangkap sembilan ekor anjing liar di kawasan tersebut pada 6 dan 7 Januari lalu.

“Berdasarkan rekod jabatan, sebanyak 20 aduan berkaitan kacau ganggu haiwan liar (anjing) oleh penduduk dicatatkan sepanjang tahun 2023 sehingga kini dengan jumlah aduan tertinggi sebanyak 13 aduan direkodkan pada
tahun 2024.

“Sebanyak 35 siri operasi kawalan anjing liar dijalankan oleh MPKL sejak tahun 2023 hingga awal tahun ini di Kampung Labohan Dagang dan berhasil menangkap 68 ekor anjing liar yang tidak mempunyai kolar pengenalan.

“Kesemua anjing yang ditangkap menjalani prosedur pemandulan bagi mengawal pertumbuhan populasi haiwan itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya